Umat Nabi Muhammad Umat Yang Matang
Kamus Dewan di halaman 868 mendefinisikan matang sebagai; masak, mempunyai banyak pengalaman, sudah sempurna (fikirannya), menunjukkan kesempurnaan dan kedewasaan pemikiran dan cukup tempohnya. Letusan daripada interpretasi tersebut, amat serasi sekali dikatakan umat Nabi Muhammad s.a.w adalah umat yang matang berbanding umat nabi terdahulu. Signifikannya adalah seperti berikut;
1. Masak atau cukup tempohnya: Umpama sepohon pokok. Ia memerlukan biji benih sebelum ditanam. Seterusnya disiram, dibaja dan dijaga dengan baik. Bermula keluarnya akar, ia akan membentuk batang berserta dedaun. Seterusnya membesar dan tumbuh subur menjadi pokok yang kuat serta tahan lasak. Bergantung pada jenis pokok: kematangan pokok diukur dengan hasil yang boleh dimanfaatkan seperti buah-buahan yang telah masak, atau batang yang boleh dibuat balak dan lain-lain. Begitu juga umat Nabi Muhammad dilahirkan: iaitu dalam tempoh penghuni dunia sudah matang serta kaya dengan pelbagai sumber ilmu pengetahuan. Benihnya sudah tentu daripada bapa dan ibu manusia iaitu Adam dan Hawa.
2. Mempunyai banyak pengalaman, sudah sempurna (fikirannya), menunjukkan kesempurnaan dan kedewasaan pemikiran: Umat Nabi Muhammad juga dilahirkan setelah manusia melalui pelbagai pengalaman hidup beribu tahun lamanya. Pengalaman umat terdahulu menjadikan umat Muhammad SAW semakin matang. Fikiran mereka telah dewasa dan sempurna. Tamadun manusia yang bersifat dinamik dan progresif berjaya membentuk generasi demi generasi yang bergantung kepada kekuatan akal. Mereka bukan lagi seperti kanak-kanak yang hanya percaya sesuatu itu wujud apabila mampu melihat dengan matanya sendiri!
3. Iya, sudah cukup tempohnya bagi Allah mengutuskan Muhammad SAW sebagai Khatamul Anbiya’ yakni penutup para nabi. Juga penyudah wahyu Ilahi di muka bumi ini. Setelah melalui pelbagai syariat yang berubah sesuai dengan zaman, persekitaran dan tempatnya, syariat bagi ummat Muhammad SAW menjadi penyempurna syariat terdahulu. Syariat yang masih relevan dengan ummat Muhammad SAW dikekalkan, manakala yang tidak sesuai lagi dengan ummat yang semakin maju dan berkembang pesat ilmu pengetahuannya dimansuhkan.
Kematangan seringkali dikaitkan dengan keupayaan akal menilai sesuatu tanpa bergantung dengan unsur material. Tindakan yang matang dikatakan diambil berdasarkan akal serta ilmu dan bukannya yang menurut emosi dan nafsu semata-mata.
Mengimbau kembali sejarah penciptaan Adam a.s, apakah yang Allah telah titipkan buat Adam a.s sehingga anugerah tersebut berjaya menundukkan para malaikat untuk sujud kepada Adam a.s? Sedangkan zat penciptaan Adam a.s hanya dari tanah yang hina. Manakala malaikat diperbuat daripada cahaya. Mari kita cari jawapannya dalam Surah al-Baqarah ayat 31 hingga 33.
Sebuah kisah lampau tercatat; Allah mengajar Adam nama-nama barang. Kemudian dibawa barang-barang itu kepada malaikat lalu Allah berkata, ‘Beritahu kepadaKu nama barang-barang ini, jika kamu yang benar.’ Jawab mereka, ‘ Maha Suci Engkau! Tiadalah dalam pengetahuan kami melainkan apa-apa yang Engkau ajarkan kepada Kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana’. Allah berkata, ‘Hai Adam! Beritahulah kepada malaikat itu nama barang-barang ini!’. Tatkala Adam menerangkan nama-nama barang itu, Allah menegaskan, ‘Bukankah sudah Kukatakan kepadamu bahawa Allah mengetahui yang ghaib di langit dan di bumi? Serta Kuketahui apa-apa yang kamu lahirkan dan apa-apa yang kamu sembunyikan’.
Bukan harta yang berjaya menimbulkan kekaguman malaikat kepada Adam a.s. Bukan juga paras rupa kerana kejadian malaikat daripada unsur cahaya tentunya lebih indah. Tidak juga dengan kekuatan pengaruh, kuasa dan pangkat kerana malaikat telah dianugerahkan kekuatan berganda daripada manusia. Terjawab sudah rahsia kehebatan Adam yakni ILMU. ILMU yang mana pemangkinnya ialah akal. Akal inilah yang membezakan manusia dan haiwan lainnya. Diukur dari sudut keperluan lahir, manusia tiada beza dengan haiwan; perlu makan dan minum, perlu kepada pasangan untuk melakukan hubungan jenis dan lain-lain.
Sesuai dengan umat yang matang, umat Nabi Muhammad dikurniakan ibu kepada segala ILMU yakni Al-Quran. Al-Quran mendapat darjah mukjizat yang dipelihara Allah hingga ke hari kiamat. Tiada siapa yang mampu mengubahnya walau satu huruf atau satu baris bacaan. Berbeza dengan kitab-kitab terdahulu yang banyak diselewengkan. Al-Quran satu-satunya mukjizat yang Rasulullah s.a.w pusakakan kepada umat selepas kemangkatannya. Tiada lagi mukjizat berbentuk ‘khawariq al-‘adat’ yakni sesuatu yang mencarik adat (luar biasa) seperti terbelahnya bulan, unta keluar dari batu, laut terbelah dan lain-lain.
Al-Quran bersifat sesuatu yang perlu dibaca dan digali pengetahuan yang ada di dalamnya. Ia menjadi sumber rujukan kepada semua pakar ilmu pengetahuan baik berupa ilmu keduniaan, lebih-lebih lagi ilmu akhirat. Tidak dapat tidak, para saintis yang berjaya pada hari ini menjadikan al-Quran sebagai pencetus teori-teori baru. Sama ada mereka beriman dengan unsur tauhid yang ada di dalamnya atau tidak, itu perkara kedua. Apa yang penting, kemajuan manusia hari ini dalam pelbagai bidang dan teknologi bersumberkan teori-teori yang termaktub dalam al-Quran. Sebagai contoh teori kekuatan besi dinyatakan surah ke 34 ayat 10-12, surah ke 57 ayat 25, surah ke 16 ayat 81 dan surah ke 18 ayat 96.
Generasi yang matang ini sudah melalui pelbagai kemajuan ilmu pengetahuan. Mereka terdedah sekian lama kepada metodologi penyelidikan yang pelbagai dan semakin progresif. Mereka mampu menyerlahkan keajaiban al-Quran melalui pembuktian secara saintifik. Kisah atom, jisim, kejadian manusia, galian, atmosfera dan lain-lain. Inilah antara maksud Al-Quran itu sebagai mukjizat.
Bila kita berikan hadiah pada seseorang, kita suka hadiah kita itu dimanfaatkan oleh penerimanya. Begitulah Nabi Muhammad s.a.w yang telah meninggalkan cenderamata agung buat umatnya yakni Al-Quran. Rasulullah tentu suka sekali ummatnya menjadikan Al-Quran dan sunnah sebagai penyuluh hidup. Rasulullah tentu sedih bila melihat umatnya berarak menyambut ‘birthday’nya namun mengenepikan sunnahnya dalam kehidupan. Kalau ambil pun, separuh-separuh sahaja terutama yang sesuai dengan nafsu. Sempena bulan kelahiran Nabi Muhammad, utusan dan kekasih Allah ini, sebagai generasi yang matang, marilah sama-sama kita menjunjung Al-Quran dan sunnah dengan menghayatinya dalam segenap kehidupan.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home