Renungan Bersama Edisi 1
4 Sifat Yang Menyelamatkan Dari Neraka
Rasulullah s.a.w bersabda “Ada empat perkara, sesiapa yang dalam dirinya mempunyai keempat perkara tersebut, Allah mengharamkan neraka baginya dan memelihara dirinya daripada syaitan iaitu seseorang yang dapat mengawal dirinya ketika sangat berkeinginan, ketika merasa sangat takut, ketika nafsunya memuncak, ketika dia marah. Dan ada empat perkara yang sesiapa dalam dirinya mempunyai keempatnya, Allah swt akan mencucuri rahmat ke atasnya dan memasukkannya ke dalam syurga iaitu sesorang yang memberi tempat tinggal kepada orang miskin, mengasihani orang yang lemah, lemah-lembut terhadap hamba sahaya dan membelanjakan wangnya untuk kedua orang tuanya. (Riwayat Hakim).
Salah satu daripada 4 sifat yang boleh menyelamatkan kita dari neraka dan godaan syaitan ialah mengawal diri semasa kita sangat berkehendakkan sesuatu. Ini kerana jika kita terlalu inginkan sesuatu kita akan mendapatkannya walaupun dengan cara yang salah. Orang yang terlalu takut juga akan melakukan sesuatu yang salah. Semasa nafsu memuncak, kita juga akan melakukan sesuatu yang salah sekiranya tidak dapat dikawal dan disalurkan pada tempat yang halal. Syaitan cuma mengambil peluang di atas nafsu buruk yang tercetus.
Begitu juga semasa marah, sekiranya tidak dikawal, kita akan bertindak secara membabi-buta dan syaitan akan menunggang di atas kemarahan kita.
Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu bahawasanya ada seorang lelaki telah berkata kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam :Berpesanlah kepadaku, lalu baginda Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:Jangan marah.Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta dipesani, maka baginda masih tetap bersabda : Jangan marah.(Riwayat Al-Imam Bukhari)
Dari Abi Ad-Darda ia berkata, wahai Rasulullah, tunjukkanlah saya sesuatu amalan yang boleh menyebabkan saya dapat masuk syurga. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Jangan marah nescaya engkau akan dapat masuk syurga. (Riwayat Al-Imam At-Thabrani)